Saturday, May 8, 2010

Gerabak Khas Penghormatan kepada Wanita

KUALA LUMPUR, 5 Mei: Hal Ehwal Wanita Islam Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (Hewi PMIUM) mengucapkan tahniah kepada pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kerana memperkenalkan gerabak khas untuk penumpang wanita KTM Komuter.
Ini adalah satu penghormatan kepada kaum wanita dan keunikan buat sistem pengangkutan awam di negara ini.
Timbalan Exco Dakwah PMIUM, Nurhasimah Bujang mencadangkan agar selepas ini diwujudkan juga gerabak khas wanita di LRT kerana pengguna wanita juga ramai dan sekarang dilihat semakin sesak.
“Jadi elok juga sekiranya langkah KTMB dituruti oleh pengurusan di LRT. Pelajar-pelajar wanita juga semakin bertambah di IPTA dan IPTS, jadi kebajikan terhadap kaum wanita harus semakin dititikberatkan,” ujarnya.
Beliau berharap inisiatif itu juga diambil contoh dan dipandang serius oleh pengusaha pengangkutan awam yang lain agar masalah-masalah penindasan atau pencabulan wanita di tempat awam dapat dikurangkan di samping meningkatkan imej perkhidmatan awam di mata masyarakat.
“Saya amat menyokong langkah ini kerana ia mampu memberikan keselesaan kepada penumpang wanita yang selama ini terpaksa berhimpit-himpit dengan penumpang lelaki khususnya ketika waktu puncak. Malah langkah ini dapat mengurangkan masalah gangguan seksual kepada penumpang wanita,” kata aktivis Hewi, Siti Najwa Harun.
Tambahnya, langkah itu menepati syariat Islam yang meletakkan wanita di tempat paling istimewa yang perlu dilindungi dan dilayani dengan sebaik-baiknya.
“Peluang warga emas, wanita mengandung dan yang membawa anak kecil mendapat tempat duduk juga lebih cerah,” ujarnya.
Kemudahan KTM ini walaupun baru namun diyakini akan mendapat sambutan meluas berikutan jumlah penumpang Komuter setiap hari yang ramai.
Gerabak khas itu boleh dikenal pasti melalui pelekat berwarna merah jambu yang ditampal di setiap cermin tingkapnya dan terdapat juga kain rentang yang dipasang di setiap platform selain pengumuman mengenai pengasingan gerabak itu dibuat di beberapa stesen.
Perkara ini sudah lama diadakan di luar negara seperti di Jepun dan beberapa negara Eropah.
Siti Nadzirah Majeed pula menyarankan agar penambahbaikan dilakukan iaitu meletakkan beberapa orang pegawai polis atau pengawal keselamatan di seluruh gerabak KTMB dan LRT.
Ini, katanya kerana kecurian atau penyeluk saku bukan sahaja dilakukan oleh kaum lelaki tetapi juga boleh terjadi terutamanya di gerabak khas wanita KTM.
“Pemasangan kamera keselamatan CCTV di dalam gerabak juga wajar agar pihak pengurusan dapat memantau keselamatan pengguna terutama di waktu puncak yang mana sebarang kejadian tidak diingini boleh berlaku,” ujar beliau.

No comments:

Post a Comment